Hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan.
Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Hari Jumaat juga dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.W.T.
Ya Allah dipagi Jumaat yang mulia ini berilah kami rahmat Mu Ya Allah, letakkan kami dalam perlindungan Mu Ya Allah.
Ya Allah ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, pasangan hidup kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami serta sekalian muslimin muslimat di mana saja mereka berada.
Ya Allah kami memohon Ya Allah, kurniakanlah kepada kedua ibu bapa kami tempat yang istimewa di syurgaMu Ya Allah.
Ya Allah ingatkan kami bahawa rezeki kami tidak akan diambil orang lain, maka tenangkan kami Ya Allah.
Ya Allah ingatkan kami bahawa amal amal kami tidak mungkin dilakukan oleh orang lain, maka perkuatkanlah azam kami untuk beramal Ya Allah.
Ya Allah kuatkan dan sempurnakan iman kami. Ya Allah, terimalah taubat kami
Ya Allah, panjangkan umur kami, kurniakan kami keselamatan dan kesihatan yang baik.
Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus dan benar.
Ya Allah berkatilah kehidupan kami di dunia dan di akhirat dan masukkan kami ke dalam syurga Firdaus Mu Ya Allah.
Ya Allah didiklah diri kami untuk menerima segala kepahitan hidup dengan sabar dan redha kerana setiap kepahitan itu Engkau telah janjikan ganjaran kemanisan yang tidak terperi manisnya.
Ya Allah bimbinglah kami dalam menjaga hati kami, bantulah kami dalam menjaga akhlak kami, pimpinlah kami dalam menjaga lisan dan perbuatan kami dan peliharalah diri kami daripada membeci dan dibenci.
Ya Allah janganlah kami dilalaikan daripada mengerjakan amal bakti oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan harta benda, pangkat serta pengaruh.
Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon ke hadratMu, berikanlah kami kekuatan, taufiq dan hidayah supaya dapat kami memperbaiki diri kami.
Dorongkanlah kami utk mempertingkatkan keimanan kami, menambah ilmu kami serta amalan baik kami.Sesungguhnya kami adalah kepunyaanMu Ya Allah dan kepada Mu jualah kami kembali.
Masukklah kami dalam golongan orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dan hidayah Mu Ya Allah.Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabatnya.
Segala puji pujian hanya untukMu Ya Allah.